TEMERLOH: Anak gajah betina, Elly yang kudung kaki akibat terkena perangkap samar dua tahun lalu menerima kaki palsu yang keempat, sumbangan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) dengan kerjasama Syarikat Bioapp Sendirian Berhad.
Elly bernasib baik kerana memperoleh peluang kedua di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di Temerloh.
Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang berkhidmat di PKGK, Nazrul Mohammad, berkata Elly ditemui dalam keadaan kudung di hutan Tanah Merah, Kelantan pada Mac 2018 dan kini ditempatkan di pusat konservasi berkenaan.
“Kakinya tidak dapat diselamatkan dan keadaan itu menyebabkan kami tercari-cari, cara membuat kaki palsu untuknya.
“Keadaan itu turut menyebabkan fizikalnya agak berbeza daripada gajah biasa kerana kaki kanan hadapan terpaksa menampung berat badan. Oleh sebab itu kami terpaksa membuat kaki palsu untuknya supaya keadaan fizikalnya tidak terjejas,” katanya.
Elly kini berusia empat tahun dan sudah empat kali bertukar kaki palsu kerana usia serta saiz badannya meningkat.
Sementara itu, pakar prostetik dan ortotik dari Syarikat Bioapp Sendirian Berhad, Saiful Shauzan Mohd Fadzil yang membuat kaki palsu itu, berkata bagi membantu Elly mendapatkan kaki palsu yang selesa, satu kumpulan telah ditubuhkan dengan kerjasama Universiti Malaya sejak 2018.
“Ketinggian Elly akan diukur setiap tahun. Elly membesar dengan cepat dan kaki palsu yang sedia ada tidak dapat mengembang mengikut saiz kakinya. Oleh itu setiap enam bulan, kita akan buat satu kaki palsu baharu untuk Elly,” katanya.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EXIM Bank itu adalah antara usaha untuk membantu pemeliharaan dan pemuliharaan gajah di negara ini.
Elly adalah gajah kedua yang menerima kaki palsu daripada EXIM Bank selepas seekor gajah betina bernama, Selendang turut menerima kaki palsu di PKGK pada 2017.
For more information and news coverage of the event, please click on the following links: